Kerajaan Negeri Johor Lancar Laman Survei #BajetJohor2017

TANGKAK, 30 OGOS – KERAJAAN NEGERI JOHOR HARI INI MELANCARKAN LAMAN SURVEI BAJET JOHOR 2017 MULAI 1 HINGGA 30 SEPTEMBER 2016 BAGI MENDAPATKAN PANDANGAN ORANG RAMAI MENGENAI FOKUS YANG AKAN DIBERI PERHATIAN DALAM MERANCANG BAJET JOHOR YANG AKAN DATANG.

Pelancaran laman tersebut disempurnakan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada majlis Ambang Merdeka 2016, peringkat Negeri Johor di Dataran Ledang, dekat sini, hari ini.

Bajet Johor 2017 bakal menekankan inisiatif Kerajaan Negeri ke arah Johor Berkemajuan.

Antara fokus Bajet Johor 2017 termasuklah Mengukuhkan Ekonomi dan Pelaburan, Meningkatkan Kesejahteraan Hidup Rakyat, Strategi Menangani Kos Sara Hidup, Perumahan Untuk Rakyat dan Memperhebat Fokus Keusahawanan.

Turut diberi perhatian ialah Memperkukuh Agenda Pembangunan Modal Insan, Menambah Baik Sistem Pengangkutan Awam serta Penyediaan Infrastruktur dan Perkhidmatan Awam.

Pelancaran laman kaji selidik itu merupakan usaha Kerajaan Negeri dalam merangka belanjawan yang inklusif dengan mengambil kira keutamaan dan keperluan rakyat Johor.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan idea, pandangan dan cadangan dengan melayari laman web jauhar.my/bajet-johor-2017.

Kaji selidik berkenaan akan dijalankan selama sebulan, mulai 1 hingga 30 September 2016.

Menteri Besar Johor dijangka membentangkan Bajet Johor 2017, November depan.

Sila Viralkan Artikel ini

Advertisements

Hari Kebangsaan 2016 disambut meriah di Kluang

14199564_1175818255810659_5699738167953668324_n

Hari ini tanggal 31hb Ogos 2016 iaitu hari Kemerdekaan ke-59 tahun….

Pagi ini berlangsung perbarisan Hari Kebangsaan ke-59 peringkat daerah Kluang dengan meriah sekali.. Acara yang bermula malam 30 Ogos 2016 dengan bacaan Yassin dan Tahlil di Masjid Bandar Kluang dan seterusnya sambutan malam ambang merdeka di Dataran Tasek Putih Kluang dengan dihidangkan pelbagai acara.

Pada pagi ini, acara seterusnya ialah perbarisan hari kebangsaan yang disertai dari pelabagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta, persatuan dan sebagainya.

Ianya adalah manifestasi kebebasan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia hari ini hasil dari keringat perjuangan orang yang terdahulu.

Merdeka bukan bererti bebas segalanya.. bukan bererti kita boleh melakukannya apa sahaja mengikut kehendak diri yang tak tentu haluannya…

Wahai anak watan yang merdeka, peliharalah kemerdekaan ini supaya kita tidak dijajah lagi…

Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2016 – 31hb Ogos 2016

#muafakatmembawaberkat
#sehatisejiwa

 

Amanat MB Johor Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2016

AMANAT
YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
PADA MAJLIS AMBANG MERDEKA
SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2016

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.

59 TAHUN LALU, pada tanggal 31 Ogos 1957, Malaysia dan segenap pelusuk tanahair ini, telah bebas dari segala bentuk cengkaman penjajahan, penindasan, kezaliman, keterbelakangan dan kejumudan.

Dan hari ini, kita kembali mengenang kembali detik paling bersejarah dalam kehidupan berbangsa dan bernegara ini.

WhatsApp-Image-2016-08-31-at-2.26.03-AMSaban tahun kita terus diingatkan betapa Kemerdekaan Malaysia bukanlah hadiah manis dan ihsan dari kolonial Inggeris.

Ia adalah maruah dan harga diri yang kita tebus dengan darah, keringat dan air mata. Berkat jerih payah para pejuang yang telah mendahului kita.

Mereka benar-benar rela mati. Hanya kerana ingin bangsa ini bebas dari belenggu penjajah. Pada mereka, mati berdiri dan berjuang itu jauh lebih mulia dari melihat anak bangsa terpaksa hidup melutut di bawah telunjuk asing.

Kita tidak akan pernah mampu membayar balik semua pengorbanan itu dengan apa-apa imbuhan dan laba sekalipun.

Pertanyaan yang lebih penting, yang harus kita sama-sama jawab dan fikirkan adalah, apa makna yang terkandung dari semua kemerdekaan ini?

Apa sebetulnya makna dan tujuan kita mengadakan peringatan hari kemerdekaan?

Pada saya, ia mempunyai beberapa konotasi penting.

Pertama, untuk kita sama-sama mendoakan para pahlawan kita. Pada pendiri bangsa.

Semoga mereka mendapat tempat sewajarnya di sisi Ilahi (Tuhan). Kepada mereka yang masih bersama kita, semoga Allah SWT (Tuhan) memberikan keafiatan jua.

Wajar kita renungkan satu firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah (bahawa mereka itu) mati, bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya” Surah al-Baqarah: ayat 154.

Kedua, sambutan kemerdekaan adalah untuk mengenang pengorbanan pejuang bangsa.

Marilah kita mengambil sedikit masa mengenang para pejuang bangsa. Jasa mereka sebagai pejuang tak mungkinakan terlupakan.

Sekalipun mereka sudah tiada bersama kita hari ini, nama mereka tetap tersemat kemas dalam hati kita. Tetap terukir indah dalam lembaran sejarah.

InsyaAllah, Marilah kita mengenang mereka dengan cara terbaik. Iaitu dengan bersama-sama melangkah memberi yang terbaik untuk negara ini. Dengan menjaga keutuhan bangsa ini dengan segenap jiwa dan raga kita.

Ketiga, dan yang paling penting, bagaimana dengan sambutan sebegini, kita berpeluang belajar dan menimba teladan hidup dari para pejuang bangsa.

Ibarat mercu suar di tepi laut, yang menjadi pedoman bagi semua nelayan, para pahlawan adalah penunjuk arah yang jelas bagi kehidupan kita, sekarang dan masa depan yang penuh cabaran dan harapan.

Hari ini, kalau anak-anak ditanya, “Besar nanti nak jadi apa?” Hampir kesemua mereka menjawab, “Nak jadi doktor, jurutera, pilot”

Tidak ada yang akan menjawab ingin menjadi pahlawan.

Namun, ada benarnya. Kerana pahlawan itu sebetulnya bukan pekerjaan, tetapi panggilan dan seruan. Panggilan dan seruan untuk membela bangsa, agama dan negara.

Maka, inspirasi apakah yang boleh menjadi suri teladan dari kisah keperwiraan para pahlawan kita ini?

Pertama, kepentingan mempunyai cita-cita yang jelas.

Cita-cita para pahlawan dan pendiri bangsa hanyalah kemerdekaan Tanah Melayu. Tiada yang kedua.

Pada mereka, seluruh imaginasi dan hati mereka hanyalah tentang impian membebaskan ibu pertiwi dari penjajahan bangsa asing. Ia bukan sahaja cita-cita besar, cita-cita luar biasa. Tetapi cita-cita yang jelas.

Pendiri bangsa mengajar kita supaya menggantungkan cita-cita kita setinggi langit.

Agar cita-cita yang melangit itu menjadi inspirasi untuk kita bangun lebih pagi. Menjadi inspirasi untuk kita bekerja lebih keras, sanggup berpanas di bawah terik matahari, rela bekerja sampai lewat malam.

Malah, ia bisa menjadi inspirasi untuk kita melunaskan tugas-tugas kita bagaikan suatu panggilan dan seruan yang mulia. Sehingga kita mengerjakannya dengan sepenuh hati, dengan setulus rasa cinta.

Dan bila kita bekerja, ia tidak hanya untuk diri kita sendiri. Tetapi juga demi kebaikan orang lain. Untuk bangsa. Untuk keluarga. Untuk tetangga.

Kedua, semangat pantang menyerah.

Bila kita memiliki cita-cita yang jelas, cabaran atau godaan apapun tidak akan menggoyahkan kita. Kita tidak akan menyerah dengan mudah.

Ambillah iktibar pelayaran Christopher Columbus. Setelah berbulan berlayar, anak buah Columbus sudah putus asa. Pulau yang diimpikan belum juga kelihatan. Mereka terus mendesak Columbus untuk berpatah balik ke Sepanyol.

Tetapi setiap kali didesak, Columbus menjawab, “Kita teruskan sedikit lagi”

Dan akhirnya, apa yang sejarah ceritakan kepada kita? Columbus menemui bukan sekadar sebuah pulau. Malah sebuah benua Amerika.

Inilah hasil sebuah cita-cita besar yang jelas, yang diikuti dengan semangat pantang menyerah.

Jadi, janganlah kita mudah menyerah. Bila kita terus tegar berjalan menuju cita-cita, InsyaAllah, (Dengan izin Tuhan) pada suatu saat kita akan sampai di tempat tujuan. Seringkali hal itu terjadi pada saat kita sudah hampir putus asa.

Ketiga, keberanian.

Pahlawan dan pendiri bangsa pastilah bukan golongan pengecut. Ramai yang dipenjara. Ramai yang tidak diendahkan. Ramai yang disisih. Ramai yang gugur.

Tetapi kesemua mereka tidak pernah berputus asa. Mereka tidak mahu menempuh jalan aman, mudah dan hidup sebagai penakut.

Mereka dengan sedar memilih jalan sukar, sulit dan berbahaya. Mereka memilih untuk menempuh jalan yang jarang dilalui. A road less traveled, kata seorang penyair. Mereka adalah orang yang sangat berani.

Inilah yang perlu kita teladani sebagai generasi penerus bangsa.

Cita-cita yang cemerlang seringkali gagal karana kita tidak memiliki keberanian untuk mencapainya. Kita takut untuk memulakan langkah. Kita takut mengambil risiko. Kita takut dikritik dan dihakimi orang. Kita takut gagal. Semua rasa takut itu merantai dan melumpuhkan potensi kita.

Maka, jika anda memiliki keinginan, laksanakanlah. Keberanian memiliki nilainya sendiri. Kejayaan akan menjelma saat kita memiliki keberanian.

Dan percayalah, kejayaan dan keberhasilan itu hanya akan digapai oleh mereka yang berani. Dunia ini adalah untuk orang-orang yang berani.

Pengajaran keempat, semangat berkorban.

Tidak ada yang mudah dalam dunia ini. Apapun yang kita lakukan pastinya memerlukan pengorbanan.

Bahkan kalau kita tidak melakukan apa-apa, kita sebenarnya telah mengorbankan sesuatu, iaitu peluang dan kesempatan.

Kelima, menjadi bangga sebagai rakyat Malaysia.

Kalau kita telusuri dan hayati nama para pahlawan dan pendiri bangsa. Kebanyakannya, tidak pun kita kenali secara peribadi. Tetapi kita rasa dekat dan kasih dengan mereka.

Kita bangga membaca kisah hidup mereka. Kita bangga dengan cerita keberanian mereka.

Para pahlawan yang gagah perkasa telah mengorbankan jiwa dan raga mereka demi tanah air, demi kita generasi penerus. Selayaknya, pengorbanan ini harus membuatkan kita berasa bangga.

Kerana pengorbanan mereka itulah, kita tidak lagi merempat dan terbuang di tanah air sendiri. Kerana pengorbanan mereka itulah, kita sama-sama memiliki ruang dan tempat dalam negara bertuah ini.

Jadi, kita mesti berbangga punya tanah air. Punya Malaysia yang satu-satunya ini.

Dan selaku generasi hari ini, kita mesti tampil dan ikut serta untuk menentukan ke mana arah negara ini hendak kita bawa.

Jangan kita hanya berpeluk tubuh. Melihat dan membiarkan sahaja tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab merobek dan merosakkan negara ini.

Sama ada kita ini mereka yang duduk di kerusi empuk dalam pejabat berhawa dingin atau penoreh dan petani yang berbudi pada tanah, atau nelayan yang bersabung dengan laut, atau guru yang tangannya berdebu dengan kapur tulis. Siapa sahaja kita, negara ini milik kita semua.

Serapuh mana pun bangsa dan negara ini, segoyah apa pun bangsa dan negara ini, lakukan dan berikanlah yang terbaik untuknya.

Sudah terlahir dari bangsa dan tanahair ini, seribu satu ceritera terbaik. Cerita yang tidak pernah terfikirkan oleh mereka yang tidak bernegara.

Jadi, dengan berbekalkan cita-cita, keberanian, semangat pantang menyerah dan kemahuan untuk berkorban di abad ke 21 ini, ayuhlah kita jadikan Malaysia ini, rumah terbaik kita. Negara dan bangsa terbaik untuk semua.

Dirgahayu Malaysia!

Warga Pasar Tani Taman Makmur meriahkan Sambutan Hari Kemerdekaan

Kluang, 28 Ogos 2016 – Membina rasa cinta kepada negara juga adalah sebahagian tuntutan agama.

Semangat warga Pasar Tani Taman Makmur, Kluang perlu dicontohi bagi menyemarakkan lagi suasana Hari Kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi.

“Kita sangat mengalu-alukan program sambutan kemerdekaan oleh rakyat Malaysia amnya dan warga Kluang khasnya, ianya boleh menyemarakkan lagi rasa patriotik dan rasa cinta kepada negara” ucapan En Md Nurhalim Bin Mohd Amin, Timbalan Ketua UMNO bhg. Kluang sempena majlis Sambutan Kemerdekaan Pasar Tani Taman Makmur, Kluang.

Beliau juga yang ketua Whip MPK Kluang turut menyertai acara anyam ketupat yang dianjurkan oleh pihak Pasar Tani tersebut.

Beliau juga menjemput orang ramai untuk menyertai pelbagai program yang akan diadakan pada malam kemerdekaan yang akan dimulakan dengan Bacaan Yassin dan Tahlil di masjid Bandar Kluang dan diikuti dengan sambutan ambang malam merdeka di Dataran Tasik Putih, Kluang. Pada 31 Ogos pula acara perbarisan sempena hari kemerdekaan akan dilakukan di perkarangan Kluang Mall, Kluang. 

Beliau menambah Pergerakan Pemuda UMNO Kluang akan melaksanakan program ambang merdeka dengan menghimpunkan orang muda bermotor.

Turut hadir pada program ini ialah pegawai FAMA daerah Kluang.

Anak-anak di Sekolah Agama Johor terus dibantu – Jais Sarday 

Kluang (28 Ogos 2016) – seramai 809 orang murid sekolah-sekolah agama dari daerah Kluang akan dibantu melalui Program Makanan Sihat (PMS) 2016.

Inisiatif ini merupakan langkah kerajaan negeri Johor membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan menikmati makanan sihat di sekolah- sekolah agama.

Sebanyak 48 buah sekolah agama di Kluang akan menerima bantuan sebanyak RM 2.50 bagi setiap pelajar.

Yb Datuk Md Jais Sarday yang merupakan Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menegaskan bahawa kerajaan negeri Johor telah membuat inisiatif berdasarkan suara hati rakyat Johor melalui kajian yang dijalankan sebelum ini.

Ini bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dibuat seiring dengan keperluan dan kehendak rakyat. Beliau bercakap semasa majlis penyampaian cek bantuan Program Makanan Sihat (PMS) 1437H di Pejabat Pendidikan Agama Daerah Kluang.

Sebelum itu, Pegawai Pendidikan Islam Daerah Kluang, YM Engku Muda bin Engku Musa juga mengingatkan kepada hadirin bahawa tahun ini merupakan tahun kedua sekolah agama Johor menerima RM 5,000 dari kerajaan negeri Johor.

Turut hadir pada majlis ini en Md Nur Halim Bin Md Amin, Ketua Whip Majlis Perbandaran Kluang, Pengerusi badan-badan kebajikan Sekolah Agama Daerah Kluang dan juga guru- guru besar sekolah agama sekitar daerah Kluang.

Majlis santai bersama Mahasiswa Kluang 

Kluang (25 Ogos 2016) – Tahniah kepada Persatuan Mahasiswa Kluang dan Yayasan Majlis Perbandaran Kluang yang berjaya menganjurkan Konvensyen Muafakat Mahasiswa Kluang 2016 yang dirasmikan oleh Yb Datuk Md Jais Bin Hj Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor merangkap ADUN Mahkota.

Program santai sehari ini merupakan idea Yb Datuk Md Jais sendiri bagi berkongsi berkaitan Kerajaan Negeri Johor.

Beliau berharap mahasiswa dapat memahami aspirasi kerajaan negeri dan memainkan peranan serta terlibat sama dalam apa pun pembangunan yang dirancang, khususnya bila dah tamat belajar nanti.

Pesanan Yb Datuk juga kepada mahasiswa Kluang khasnya agar dapat sertai program yang bermanfaat seperti ini.

“Steady anak Kluang… kepada yang belum berkesempatan, meh la join Persatuan Mahsiswa Kluang” kata Yb Datuk Md Jais ketika merasmikan konvensyen tersebut.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, En Ismail Abu, Sdr Md Nurhalim Bin Md Amin Ketua WHIP MPK Kluang dan Sdr Raza As’ad Rajab, Pengerusi SRCC Kluang.

#muafakatmembawaberkat

Kemeriahan suasana Persidangan UMNO Bahagian Kluang 2016

IMG_8058-10

Kluang (21 Ogos 2016) – Persidangan UMNO Bahagian Kluang telah berjalan dengan lancar pada 21 Ogos yang lalu yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menggesa “Ahli UMNO diminta tidak takut atau bimbang jika digelar rasis kerana memperjuangkan kepentingan agama dan orang Melayu di negara ini.”

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia berikutan asas perjuangan UMNO yang ditubuhkan bertujuan membela nasib agama dan orang Melayu.

Katanya, itu juga menjadi asas perjuangan parti komponen MCA dan MIC yang turut memperjuangkan nasib kaum masing-masing.

“Apabila UMNO membela nasib orang Melayu dan dituduh rasis, kita terdiam, takut dan gelabah. Padahal itu asas perjuangan dan tanggungjawab parti menjaga kebajikan serta membela nasib agama dan bangsa. Jangan sampai orang Melayu meluat dengan UMNO disebabkan kita gagal membela nasib mereka kerana takut dikata rasis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagia Kluang, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday dan Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Berikut adalah gambar-gambar suasana Persidangan UMNO Bahagian Kluang 2016.

Selamat Datang ke Blog UMNO Kluang

IMG_7825

Assalamualaikum dan salam Muafakat Johor.

Selamat datang ke blog UMNO Bahagian Kluang. Blog ini diwujudkan bagi menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dan program yang berkaitan UMNO Bahagian Kluang dan yang berkaitan dengannya. Kami juga mengalu-alukan maklumbalas serta aduan isu-isu tempatan.

anda boleh hubungi admin blog UMNO Kluang melalui email berikut :

mediaumnokluang@gmail.com

Terima Kasih