​SKIM SEWA BELI PERUMAHAN JOHOR TERUS TUMPU GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH DAN SEDERHANA

Iskandar Puteri, 11 Mei 2017 – Kerajaan Negeri Johor telah melaksanakan skim sewa beli sejak tahun 1990an (tetapi waktu itu melalui sistem manual) di seluruh daerah yang melibatkan projek-projek Rumah Awam Kos Rendah.

Md Jais Sarday telah menjawab soalan di Dewan Negeri Johor semalam, yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Gambir berkaitan skim sewa beli Rumah Mampu Milik Johor. Beliau juga selaku Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor berkata skim yg bermula sejak tahun 1990,  telah melibatkan sebanyak 6,264 unit rumah (69 buah projek perumahan).

Dalam Bajet 2015, kerajaan negeri mensasarkan sebanyak 5,000 unit rumah yang akan dijadikan skim sewa beli. Sehingga hari ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan tawaran kepada 3,200 orang yang layak.

Menurut Md Jais, dalam Bajet 2017, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukan sebanyak RM20 juta untuk membiayai skim sewa beli untuk Perumahan Komuniti Johor A dan B yang harganya RM40 ribu (pendapatan isi rumah tidak lebih RM3 ribu) dan RM80 ribu (pendapatan isi rumah tidak lebih RM5 ribu).

Menurut beliau kerajaan negeri Johor akan terus membela rakyat dan menjaga kebajikan mereka khasnya berkaitan perumahan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

#muafakatmembawaberkat
#JohorBerkemajuan

#teamJohorBerkemajuan

Advertisements

Semua daerah di Johor bakal nikmati Bas Percuma Muafakat Johor – Md Jais Sarday 

Iskandar Puteri, 7 Mei 2017 – ​Pagi ni saya menjawab soalan di Dewan Negeri berkaitan Bas Muafakat Johor yang diutarakan oleh ADUN Penggaram dan Machap.

Bas Muafakat Johor adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Johor bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat sebagaimana yang terkandung di dalam polisi Pelan Suara Hati Johor – menangani kos sara hidup rakyat.

Pada tahun 2016, perkhidmatan Bas Muafakat Johor diperkenalkan di kawasan Iskandar Malaysia melalui 4 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), iaitu; Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang serta Majlis Perbandaran Kulai dengan kos keseluruhan sebanyak RM11 juta dan telah memberi manfaat kepada penggunaan 2.43 juta orang yang turun naik setiap hari (mulai 1 April 2016 hingga 31 Mac 2017).

Dalam Bajet Tahun 2017, Kerajaan Negeri Johor telah komited untuk memperluaskan perkhidmatan bas ini di luar kawasan Iskandar Malaysia melalui 10 Pihak Berkuasa Tempatan yang lain (di luar daerah Johor Bahru) dengan anggaran kos keseluruhan  sebanyak RM20 juta.

Perkhidmatan bas ini hanya untuk rakyat tempatan (rakyat Malaysia) dengan menggunakan kad (Kad Muafakat Johor), yang harganya setahun, seperti berikut;

1) umur 7-17 tahun (pelajar) – RM 5

2) umur 18-59 tahun (dewasa). – RM 10

3) umur (60 tahun ke atas) warga emas – RM 5

4) orang kelainan upaya. – RM 5

5) umur 6 tahun ke bawah. – percuma

Oleh kerana perkhidmatan ini baru diperkenalkan pada tahun 2016, (masih baru), mungkin masih ada kelemahan di sana sini, termasuklah berkaitan dengan laluan bas. Justeru, saya bagi pihak kerajaan negeri mengalu-alukan apa jua bentuk pandangan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bas ini..

#muafakatmembawaberkat

#teamJohorBerkemajuan

RM 3 juta diluluskan untuk atasi banjir Kilat di Taman Murni – Jais Sarday 

​*Kenyataan Media Yb Datuk Md Jais Sarday berkaitan Isu Banjir kilat di Taman Murni*
30 April 2017, Kluang – Saya sangat mengambil berat terhadap isu banjir kilat yang berlaku di Taman Murni dan Taman Melodi yang mengakibatkan kerosakan harta benda penduduk yang terlibat.

Kelmarin saya telah membuat lawatan mengejut bersama Timbalan Ketua Umno Bhg Kluang, Timbalan Ketua WHIP MPK, JPS, JKR, TM, MPK dan ahli majlis di tapak banjir kilat tersebut.

Saya telah lama kemukakan kpd kerajaan utk mendapatkan peruntukan bagi mengatasi masalah ini dan JPS telah memaklumkan bahawa *permohonan tersebut telah diluluskan sebanyak RM 3juta*.

Saya berharap selepas projek ini dibuat, saliran yang seluas *1.2 meter ini akan menjadi 5 meter* dan memudahkan air mengalir.

Saya berharap *kerja-kerja pelebaran dapat dibuat sebelum hujung tahun ini* dan seterusnya dapat mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku.

_*Yb Datuk Haji Md Jais bin Haji Sarday,*_

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor merangkap ADUN Mahkota

Md Jais – Jangan terpedaya helah orang tengah tawar RMMJ

Penerima BR1M swafoto bersama YB Datuk Md Jais Sarday, ADUN Mahkota

KLUANG: Pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan rumah kuota Bumiputera di negeri ini tidak dilakukan menerusi orang tengah atau membabitkan pembayaran wang kerana menyalahi prosedur kelulusan serta undang-undang. 

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan helah pihak tertentu yang menjamin rumah berkenaan berkenaan jika mendapat sejumlah bayaran. 

Katanya, ada aduan mendakwa orang tengah mengatur dan memberi jaminan dengan membayar sejumlah wang kepada ejen bagi mendapatkan unit RMMJ. “Ini salah. Pembelian RMMJ atau kuota rumah Bumiputera tidak melalui orang tengah. 

“Jika ada pihak meminta bayaran bagi tujuan itu, pemohon perlu buat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

“Berikan nama dan nombor telefon selain tempat individu itu bertugas. Jika dia mendakwa daripada Bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, dapatkan jawatannya,” katanya. Beliau ditemui selepas menyampaikan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penerima yang tidak mempunyai akaun bank di ruang legar Pekan Rabu di sini, hari ini. 

Yang hadir sama, Pegawai Daerah Kluang, Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin dan Timbalan Ketua MCA Bahagian Kluang, Sim Chin Lay. Kira-kira 1,200 penerima yang tidak mempunyai akaun bank di kawasan Parlimen Kluang menerima bantuan berkenaan. 

Md Jais berkata, kerajaan membina rumah mampu milik bagi membantu rakyat memiliki rumah, dan rakyat diminta untuk tidak mempercayai peranan orang tengah bagi mendapatkan kediaman berkenaan. “Kerajaan telus dalam urusan penjualan rumah RMMJ, namun pembabitan pihak tidak bertanggungjawab ini memberi gambaran buruk,” katanya. 

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/258183?m=1

Kenyataan media YB Datuk Md Jais Sarday

KENYATAAN MEDIA

YANG BERHORMAT 

DATUK HAJI MD JAIS BIN HAJI SARDAY

PENGERUSI JAWATANKUASA PERUMAHAN DAN KERAJAAN 

TEMPATAN NEGERI JOHOR

Saya ingin mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor yang baharu.

Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor atas kepercayaan ini.

Saya akan memberikan sepenuh komitmen untuk memahami dan mendalami protfolio baharu ini. Sebagai permulaan, saya akan melakukan dengan segera perjumpaan dengan pegawai-pegawai bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mendapat kerjasama mereka.

Saya akan berusaha untuk mengkaji dan memperhalusi kembali proses dan prosedur sedia ada dan mencadangkan amalan terbaik tadbir urus yang boleh memantapkan integriti dan ketelusan Kerajaan Negeri, khususnya Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Saya berharap semua pihak akan memberikan kerjasama yang padu dalam proses ini.

Saya menganggap perlantikan ini sebagai satu tanggungjawab yang besar dan akan berusaha menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

Datuk Haji Md. Jais Haji Sarday

08 Mac 2017

-Tamat

Kenyataan media – Jawapan Balas UMNO Negeri Johor terhadap kenyataan Lim Kit Siang

YB Datuk Md Jais Sarday, Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Johor.

*KENYATAAN MEDIA DATUK MD JAIS SARDAY*

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor

Saya menyarankan agar Pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang agar belajar dan fahami dahulu perbezaan antara tanah (land) dengan hartanah (properties) sebelum cuba merendah-rendahkan kredibiliti Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Bagi saya, Kit Siang menyerang Menteri Besar adalah bermotifkan politik dan cuba mengelirukan rakyat kerana pembangkang berhasrat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merampas negeri Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. 

Saranan Kit Siang agar Menteri Besar bercuti sepanjang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal penukaran status HARTANAH Bumiputera di negeri itu adalah tidak wajar sama sekali kerana perkara ini langsung tidak ada kaitan dengan Menteri Besar.

Kit Siang sebenarnya tidak faham isu ini tetapi cuba hendak eksploitasikan perkara ini bagi tujuan mengelirukan rakyat dan merosakkan nama baik Menteri Besar.

Sebagai seorang Menteri Besar negeri ini yang berintegriti, Datuk Seri Mohamed Khaled telahpun menjawab dan memberi penerangan secara jelas berkaitan salah faham penukaran status tanah kuota bumiputera di negeri ini.

Dasar yang membenarkan pelepasan atau pertukaran status hartanah rumah bumiputera kepada status awam sama sekali tidak melibatkan rumah kos rendah dan mampu milik.

Penukaran status ini adalah untuk kuota bumiputera yang melibatkan rumah-rumah mewah dan bukan dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor.

Perkara ini memang amalan kerajaan negeri bukan sahaja di negeri Johor malah di kesemua kerajaan negeri.

Kita kenalah adil  kepada pihak pemaju juga.  Pemaju boleh memohon untuk menukar status hartanah selepas melepasi tempoh dan syarat tertentu termasuk promosi pengiklanan melalui suratkhabar bagi mengelakkan lambakan rumah mewah yang tidak terjual kepada bumiputera, jika tidak pemaju akan menanggung rugi.

Jadi sebelum Kit Siang mahu menyerang Menteri Besar adalah lebih baik dia faham perkara ini terlebih dahulu.

Sekian, terima kasih

JOHOR BAHRU, 3 Mac 2017

Khaled Ucap Tahniah Perlantikan Abang Johari Sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6

JOHOR BAHRU, 13 JAN – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan tahniah kepada Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg di atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Negeri Johor, saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6.

“Saya yakin beliau akan dapat meneruskan usaha-usaha baik yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem agar Sarawak terus aman makmur dan berjaya,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Johor.

Beliau seterusnya mengharapkan agar Bumi Kenyalang akan bertambah maju dan membangun di bawah kepimpinan Ketua Menterinya yang baharu.

Abang Johari, 66, mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri Sarawak keenam di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Astana, kediaman rasmi ketua negeri di Kuching petang ini.

Beliau menggantikan Adenan yang meninggal dunia Rabu lepas kerana komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Umum Kota Samarahan.

Abang Johari merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan, selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.

Pertumbuhan ekonomi Johor antara yang terbaik – Khaled Nordin 

Membentangkan kedudukan pencapaian dan kemajuan kita yang bersandarkan kepada pencapaian yang bersifat kuantitatif. Pencapaian dan kemajuan yang sering kita ukur dan nilai berdasarkan kepada rujukan-rujukan indikator makro sesebuah ekonomi.

Saya mulakan dengan yang pertama, Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK, iaitu ukuran utama keaktifan sesebuah ekonomi. Secara puratanya, Johor telah mencatat pertumbuhan KDNK pada harga malar, sebanyak 6.1 peratus untuk tempoh 2011 sehingga 2014. Bacaan ini adalah 0.7 mata peratusan (percentage point) lebih tinggi berbanding bacaan peringkat nasional yang hanya mencatatkan 5.40 peratus.
Peratusan ini bukan sahaja selari dengan sasaran yang kita tetapkan, malah berjaya dicapai meskipun iklim ekonomi serantau dan dunia kelihatan semakin mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia sebenarnya harus dibanggakan, kerana pertumbuhan ekonomi Johor merupakan di antara yang terbaik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

 Kedua, jumlah pelaburan yang masuk ke negeri Johor. Negeri Johor, bermula dari tahun 2013 telah menduduki tempat pertama sebagai penerima tertinggi pelaburan dalam sektor pembuatan. Jika dicongak daripada tahun 2010 sehingga tahun 2015, kita telah berjaya membawa masuk hampir RM86.3 bilion dalam tempoh 6 tahun terakhir ini, jauh meninggalkan negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Manakala pelaburan terkumpul, termasuk sektor perkhidmatan, di Iskandar Malaysia sahaja mencecah RM 208 bilion. Dan 51 peratus dari jumlah ini telah pun direalisasikan.

Ketiga, kedudukan dan disiplin fiskal. Saya ingin menegaskan bahawa sejak 2013 sehingga 2015, kita telah berjaya mencatatkan lebihan dalam pengurusan kewangan secara konsisten.

 Hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2015 misalnya, adalah sebanyak RM1.549 bilion iaitu 25% melebihi anggaran asal berjumlah RM1.239 bilion. Dan sehingga 31 Disember 2015, rizab kita pula adalah sebanyak RM2.63 bilion.

Pencapaian ini penting untuk ditonjolkan kerana, dalam bahasa yang mudah difahami, ia menunjukkan keupayaan kita merancang dan mengawal kedudukan kewangan Negeri dengan baik.

 Keempat, peningkatan pendapatan isi rumah. Jika dilihat dalam Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah Dan Kemudahan Asas terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan isi rumah bulanan penengah negeri Johor telah meningkat sebanyak 42.3% kepada RM 5,197 pada tahun 2014 berbanding RM 3,650 pada tahun 2012.

 Ia merupakan pertumbuhan kedua tertinggi di peringkat nasional. Ini bermakna, secara umumnya, segala peningkatan dalam aspek ekonomi yang dicatatkan di pihak Kerajaan Negeri, turut mempengaruhi dan memberi penambahan kepada jumlah perolehan bagi rakyat Johor.

Kelima, peningkatan dalam industri perkhidmatan. Dalam sektor perkhidmatan pula, Johor terus menjadi pilihan. Industri kreatif dan multimedia terus mendapat lonjakan melalui pembinaan Pinewoods Iskandar Malaysia Studios. Manakala sektor perlancongan pula, hasil daripada Pelan Induk Pelancongan Johor yang dimulakan pada Jun 2014, telah menyaksikan peningkatan tertinggi kadar kemasukan pelancong di Malaysia. Iaitu peningkatan daripada 6.42 juta pelancong kepada 6.95 juta pada tahun 2015.